Thursday, May 30, 2013

Belajar ilmu - tetapi tidak belajar adab.


Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

:)

Sheikh adalah antara ulama' yang tegas dalam perihal adab di dalam majlis ilmu. Baik siapa pun yang ada di hadapannya, presiden, ulama', sultan, perdana menteri, asatizah, menteri besar, menteri kecil, ahli koporat, nelayan, acik jual nasik lemak, atau siapapun pasti saja ditegurnya 'on the spot' jika ternampak ada dalam kalangan para penuntut ilmu yang tidak beradab dalam majlis ilmunya.

Terkadang, timbul juga rasa takut untuk hadir ke majlis-majlis ilmu Sheikh, takut dimarahi di depan teman sepengajian yang lain kerana diri ini yang kurang dan jahil tentang adab. Tetapi gagahkan juga, demi mencari butir-butir permata untuk disimpan di dalam guni bekalan hari selepas hari kematian.

Pernah suatu ketika, kami hadir ke majlis Syeikh, disebabkan perasaan takut menyalahi adab di hadapan Syeikh, ada beberapa di antara kami yang sanggup mencabut 'battery' dari henfon dek kerana risau kalau-kalau henfon kami tiba-tiba berbunyi walaupun sudah di'off' sebelumnya. Kenangan :)

Syeikh adalah antara ulama' yang layak untuk menekankan tentang adab. Kerana diceritakan oleh guru kami yang juga anak murid Syeikh, Syeikh ketika masa belajarnya adalah seoragan tolibul ilmi yang sangat-sangat menjaga adab bahkan jika beliau bertalaqqi di hadapan guru beliau Syeikh Yassin Padang, tidak pernah beliau angkatkan kepala beliau untuk melihat wajah Syeikh Yassin. Sungguh tawadhuk dan tawajuh beliau ketika belajar. Inilah adab seorang penuntut ilmu.

Antara faktor mengapa belajar tak masuk-masuk dan susah nak faham dengan ilmu yang kita pelajari, tidak kiralah menuntut ilmu apa sekalipun, baik ilmu dunia mahupun akhirat, adalah kerana kurangnya ADAB di dalam majlis ilmu. ADAB di dalam majlis ilmu/ketika belajar sangat penting bagi setiap penuntut ilmu, kerana apa? Kerana...


‘Abdurrahman bin al-Qasim pernah berkata, “Saya berkhidmat kepada Imam Malik selama 20 tahun. Dua tahun diantaranya (saya habiskan) untuk mempelajari ilmu, sedangkan 18 tahun lainnya untuk mempelajari ADAB. Duh, andai saja saya habiskan seluruh masa itu untuk mempelajari ADAB!”

Sebagian ulama’ berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, sungguh bila engkau mempelajari satu bab ADAB itu lebih aku cintai dibanding bila engkau mempelajari tujuh puluh bab ilmu."

Ibnul Mubarak berkata, "Barangsiapa yang meremehkan ADAB-ADAB, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari sunnah-sunnah. Barangsiapa yang meremehkan sunnah-sunnah, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari fardhu-fardhu. Dan, barangsiapa yang meremehkan fardhu-fardhu, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari ma’rifat (mengenal Allah).”

Berkata Sheikh Zarnuji di dalam kitabnya Ta'lim al-Muta'alim, "Sesungguhnya aku telah melihat betapa ramainya penuntut ilmu pada zaman ini belajar bersungguh-sungguh tetapi tidak memperolehi manfaat dan berkat. Ini kerana mereka telah meninggalkan beberapa syarat menuntut ilmu. Dan barang sesiapa yang mengabaikan syarat-syarat menuntut ilmu, maka ilmunya tidak akan berhasil..."


Betapa ulama-ulama mutaqoddimin(ulama' terdahulu) menitik beratkan perihal adab lebih dari segalanya. Tidak guna ilmu bertingkat-tingkat tapi tidak beradab, lebih baik menjadi orang yang sikit ilmunya tetapi beradab.

Masyarakat moden sekarang sudah tidak memandang tentang perihal adab ini, saya sendiri melihat perkara ini di dalam kuliyyah di universiti, kelas tutorial, program motivasi, ceramah-ceramah, ya berbeza sekali suasananya jika saya hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu seperti majlis talaqi dan mujalasah. Beza suasananya terletak pada sejauh mana adab dipraktikkan dalam majlis-majlis ilmu seperti itu.

Ya, ADAB.



Untuk permulaan, kita usahakan untuk disiplinkan diri dengan adab-adab yang mudah dahulu, misalnya :

1. Tutup henfon/silentkan(sebaiknya tutup) ketika menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini dikhuatiri akan mengganggu guru yang sedang mengajar dan sahabat-sahabat sepengajian.

2. Jangan melunjurkan kaki menghala guru (jika belajar secara bersila) dan jika duduk di atas kerusi, elakkan duduk dengan menyilang kaki dan segala perbuatan yang berkaitannya yang jika dilihat boleh kita kata, "Ini tidak beradab". Jika duduk bersila, usahakan untuk sembunyikan hujung jari kaki.

3. Jika guru sama jantina, usahakan untuk cium tangan guru sebaik selepas tamat pengajian. Cium tangan juga perlu betul caranya, cium tangan dekat sini bermaksud bukan salam bagi dahi yang selalu orang Melayu kita lakukan, tetapi cium tangan guru dengan mulut. Tidak kiralah samada guru itu lebih muda dari kita sekalipun, tetap perlu, ini sebagai tanda hormat kita kepada orang yang sudah mengajarkan kita ilmu.

4. Jangan tenung wajah guru terlalu lama, ada juga guru yang kurang selesa jika wajahnya ditenung lama oleh anak murid. Kalaupun nak tengok sangat wajah guru, tengoklah ketika guru sedang memandang ke arah lain, bila guru memalingkan wajahnya kepada kita, terus tunduk, elakkan bertentang mata dengan guru.

5. Jangan bercakap-cakap, atau pandang ke kiri dan ke kanan ketika di dalam majlis pengajian. Jika mahu bertanya, bertanyalah dengan cara yang beradab, angkat tangan jangan terlalu tinggi, dan suara juga jangan terlalu tinggi. Ini bagi menjaga ketenteram majlis pengajian.

6. Jangan bersandar di dinding-dinding tempat pengajian. Duduklah rapat-rapat dan sebaiknya duduk di tempat biasa kita duduk, jangan berubah-ubah tempat supaya guru mudah untuk mencari kita. Susunlah kasut/sandal membelakangi tempat pengajian.

7. Jangan makan atau minum ketika guru sedang mengajar. Ini adalah sangat-sangat menyalahi adab di dalam majlis ilmu.

8. Catatlah setiap mutiara ilmu yang dicurahkan oleh sang guru. Bawalah pena dan kitab ke dalam majlis pengajian kerana adalah satu kehinaan buat seorang penuntut ilmu yang tidak membawa pena dan kitab.

9. Bersikap tawadhuk, tawajuh lah ketika guru sedang mengajar. Jika guru bertanya tentang satu-satu soalan, katakanlah yang kita tidak tahu tentang jawapannya walaupun sebenarnya kita sudah tahu. 


Ini secara ringkas sahaja buat para tolibul ilm yang baru hendak mula belajar tentang adab ketika berada di majlis ilmu :) InsyaAllah jika kalian punya kesungguhan untuk menjaga adab-adab ketika di majlis pengajian, kalian akan rasai ilmu yang dipelajari itu masuk seperti air yang mencurah-curah, dan juga jika betul-betul beradab dengan guru, berkhidmat dengan mereka, kalian akan dapat ilmu yang lebih dari apa yang diajar oleh guru. Nadhrah guru. Ilmu yang lain itu masuk seperti bluetooth sahaja.

Disebut di dalam atsar:

"Pelajarilah ilmu dan belajarlah untuk mendapatkan ilmu itu dengan ketenangan dan kemuliaan. Bersifat tawadhuklah kepada orang yang kalian belajar daripadanya."


Bagi yang mahu mengetahui lebih tentang adab-adab sampingan dalam menuntut ilmu, inilah dia. Intinya, lebih sarat. Lebih mudah faham. Lebih sesuai dengan dunia masa kini.

Adapun jika kitab-kitab lama, boleh dirujuk pada kitab Penawar Bagi Hati(Syeikh Abd Qadir al Mandili), Hidayah as-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin(Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani), Bidayah al-Hidayah(Imam Ghazali) dan Ta'alim al-Muta'alim(syeikh az-Zarnuji) . Rahimahumullahhuta'ala.




Allahummasolli'alasayyidinaMuhammad.
Semoga beroleh manfaat.
Hamba yang fakir lagi berhajat kepada Tuhan yang Maha Terkaya.

No comments: