Thursday, March 6, 2014

Pesanan guru hamba Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj Joll As-Sanariyy Hafizhahullahuta'ala.

Berkata Al-Faqiirul Haqiirul Faanii, al-Muznibul Jaanii, ar-Raajii min Rabbihil ‘Afwa ma’a Buluughil Aamaanii, Muhadir bin Haji Joll as-Sanariyy:

“Para masyaikhku telah menasihatkanku beberapa perkara:

“Ikhlaskan niatmu dalam menuntut ilmu kerana sukar bagi hati untuk dimasuki cahaya jika di dalamnya ada sesuatu yang dibenci Allah.”

“Sucikan hatimu dari kekotoran maksiat kerana hati yang kotor tidak dapat menerima rahsia-rahsia ilmu dan kurniaan Allah.”

“Tuntutlah ilmu agama secara talaqi daripara masyaikh yang bersanad kerana ada padanya madad dan keberkatan.”

“Muliakanlah para ulama’, ilmu dan kitab-kitab mereka. Lazimikanlah dirimu untuk membaca kisah-kisah dan kitab-kitab para Salafus Soleh dan ulama Khalaf yang soleh terutamanya kitab Ihya ‘Ulumiddin karangan Hujjatul Islam, Al-Imam Al-Ghazzali kerana ia adalah perbendaharaan dari segala macam ilmu dan penawar yang mujarab bagi penyakit-penyakit hati.”

“Menuntut ilmu bukan hanya untuk mengisi otak dan fikiran, tetapi juga untuk memperhaluskan perasaan dan menyuburkan kebijaksanaan. Apa yang dicari bukan hanya semata-mata ilmu, tetapi juga manfaat dan keberkatannya. Justeru, jagalah adab-adab ketika menuntut ilmu untuk memperolehinya.”

“Cintailah Rasulullah dan keturunannya kerana jika hanya berilmu tanpa Mahabbatun Nabi, hati akan menjadi ‘gersang’.”

Demikianlah nasihat ini ditujukan juga kepada semua ahli pengajian talaqiku khasnya dan kepada semuanya penuntut ilmu amnya.”

Friday, June 7, 2013

Kisah Rabi'atul Adawiyyah dilamar Hassan al-Basri. (Rahimahumullahuta'ala)

Dikisahkan setelah suami Rabiatul Adawiyyah meninggal dunia, maka Hassan al-Basri dan rakan-rakannya telah datang bertemu dengan Rabi'ah. Setelah mendapat kebenaran masuk, maka Rabi'ah pun menutup hijab dan Rabi'ah duduk dibelakang hijab.

Hasan al-Basri memulakan percakapan , "Wahai Rabi'ah sesungguhnya suamimu itu telah meninggal dunia, oleh itu kamu harus bersuami pula!"

Rabi'ah berkata , "Baiklah, siapakah diantara kamu yang paling alim, maka akan saya hambakan diri saya sebagai isterinya".

Lalu berkata sahabat-sahabat Hasan al-Basri , "Diantara kami yang paling alim ialah Hasan Basri". Kemudian Rabi'ah berkata, "Baiklah, kalau kamu dapat menjawab 4 soalanku ini maka aku akan menjadi isterimu".

Hasan al-Basri berkata, "Tanyalah, semoga Allah SWT akan menolong aku menjawab soalanmu".

Rabi'ah memulakan pertanyaan "Bagaimanakah pendapatmu jika saya mati dan keluar dari dunia ini, adakah saya keluar berbekalkan iman atau pun tidak?"

Kata Hasan al-Basri, "Itu adalah sesuatu yang ghaib dan yang tahu hanyalah Allah SWT Yang Maha Mengetahui".

Bertanya Rabi'ah lagi, "Bagaimana pendapatmu, kalau saya sudah ditidurkan dalam kubur dan ditanya oleh Munkar dan Nangkir, bolehkah saya menjawab soalan mereka itu?"

Jawab Hasan al-basri, "Itu adalah masalah ghaib hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui."

Rabi'ah bertanya lagi, "Apabila semua manusia sudah dihalau pada hari Qiamat dan bertebaranlah kitab-kitab catatan amal mereka, sebelah manakah kitab saya akan diberi, disebelah kanan atau kiri?".

Berkata Hasan al-Basri "Itu bun adalah soal ghaib"

Lalu Rabi'ah mengajukan soalannya yang terakhir, "Apabila manusia sudah diseru kelak, sebahagian ke syurga dan sebahagian lagi ke neraka, maka bahagian manakah saya akan berada?"

Jawab Hasan al-Basri, "Itu juga adalah hal ghaib".

Rabi'ah berkata, "Kalau seseorang itu sudah kabur dalam empat masalah ini, maka bagaimanakah dia akan menyibukkan diri dengan perkahwinan.

Berkata Rabi'ah, "Wahai Hasan, jawablah berapa bahagiankah Allah SWT menciptakan akal?"

Berkata Hassan al-Basri, "Sepuluh bahagian, yang sembilan bahagian untuk para lelaki dan yang satu untuk para wanita".

Setelah mendengar jawapan Hasan al-Basri maka Rabi'ah pun berkata "Allah SWT menciptakan syahwat juga sepuluh bahagian, sembilan bahagian adalah untuk kaum wanita dan satu bahagian adalah untuk kaum lelaki".

Akhirnya Rabi'ah berkata, "Wahai Hasan, saya boleh menjaga sembilan bahagian dari syahwat itu dengan satu bahagian akal, jadi mengpa kamu tidak boleh menjaga satu bahagian syahwat dengan sembilan bahgian akal".

Apabila Hasan Basri mendengar kata-kata yang cukup berkesan itu maka menangislah Hasan Basri dan terus keluar dari rumah Rabi'atul Adawiyyah.



[Dipetik dari kitab Miskaatul Anwar karangan Imam Ghazali]


Thursday, May 30, 2013

Belajar ilmu - tetapi tidak belajar adab.


Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

:)

Sheikh adalah antara ulama' yang tegas dalam perihal adab di dalam majlis ilmu. Baik siapa pun yang ada di hadapannya, presiden, ulama', sultan, perdana menteri, asatizah, menteri besar, menteri kecil, ahli koporat, nelayan, acik jual nasik lemak, atau siapapun pasti saja ditegurnya 'on the spot' jika ternampak ada dalam kalangan para penuntut ilmu yang tidak beradab dalam majlis ilmunya.

Terkadang, timbul juga rasa takut untuk hadir ke majlis-majlis ilmu Sheikh, takut dimarahi di depan teman sepengajian yang lain kerana diri ini yang kurang dan jahil tentang adab. Tetapi gagahkan juga, demi mencari butir-butir permata untuk disimpan di dalam guni bekalan hari selepas hari kematian.

Pernah suatu ketika, kami hadir ke majlis Syeikh, disebabkan perasaan takut menyalahi adab di hadapan Syeikh, ada beberapa di antara kami yang sanggup mencabut 'battery' dari henfon dek kerana risau kalau-kalau henfon kami tiba-tiba berbunyi walaupun sudah di'off' sebelumnya. Kenangan :)

Syeikh adalah antara ulama' yang layak untuk menekankan tentang adab. Kerana diceritakan oleh guru kami yang juga anak murid Syeikh, Syeikh ketika masa belajarnya adalah seoragan tolibul ilmi yang sangat-sangat menjaga adab bahkan jika beliau bertalaqqi di hadapan guru beliau Syeikh Yassin Padang, tidak pernah beliau angkatkan kepala beliau untuk melihat wajah Syeikh Yassin. Sungguh tawadhuk dan tawajuh beliau ketika belajar. Inilah adab seorang penuntut ilmu.

Antara faktor mengapa belajar tak masuk-masuk dan susah nak faham dengan ilmu yang kita pelajari, tidak kiralah menuntut ilmu apa sekalipun, baik ilmu dunia mahupun akhirat, adalah kerana kurangnya ADAB di dalam majlis ilmu. ADAB di dalam majlis ilmu/ketika belajar sangat penting bagi setiap penuntut ilmu, kerana apa? Kerana...


‘Abdurrahman bin al-Qasim pernah berkata, “Saya berkhidmat kepada Imam Malik selama 20 tahun. Dua tahun diantaranya (saya habiskan) untuk mempelajari ilmu, sedangkan 18 tahun lainnya untuk mempelajari ADAB. Duh, andai saja saya habiskan seluruh masa itu untuk mempelajari ADAB!”

Sebagian ulama’ berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, sungguh bila engkau mempelajari satu bab ADAB itu lebih aku cintai dibanding bila engkau mempelajari tujuh puluh bab ilmu."

Ibnul Mubarak berkata, "Barangsiapa yang meremehkan ADAB-ADAB, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari sunnah-sunnah. Barangsiapa yang meremehkan sunnah-sunnah, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari fardhu-fardhu. Dan, barangsiapa yang meremehkan fardhu-fardhu, maka ia akan dihukum dengan terhalang dari ma’rifat (mengenal Allah).”

Berkata Sheikh Zarnuji di dalam kitabnya Ta'lim al-Muta'alim, "Sesungguhnya aku telah melihat betapa ramainya penuntut ilmu pada zaman ini belajar bersungguh-sungguh tetapi tidak memperolehi manfaat dan berkat. Ini kerana mereka telah meninggalkan beberapa syarat menuntut ilmu. Dan barang sesiapa yang mengabaikan syarat-syarat menuntut ilmu, maka ilmunya tidak akan berhasil..."


Betapa ulama-ulama mutaqoddimin(ulama' terdahulu) menitik beratkan perihal adab lebih dari segalanya. Tidak guna ilmu bertingkat-tingkat tapi tidak beradab, lebih baik menjadi orang yang sikit ilmunya tetapi beradab.

Masyarakat moden sekarang sudah tidak memandang tentang perihal adab ini, saya sendiri melihat perkara ini di dalam kuliyyah di universiti, kelas tutorial, program motivasi, ceramah-ceramah, ya berbeza sekali suasananya jika saya hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu seperti majlis talaqi dan mujalasah. Beza suasananya terletak pada sejauh mana adab dipraktikkan dalam majlis-majlis ilmu seperti itu.

Ya, ADAB.



Untuk permulaan, kita usahakan untuk disiplinkan diri dengan adab-adab yang mudah dahulu, misalnya :

1. Tutup henfon/silentkan(sebaiknya tutup) ketika menghadiri majlis-majlis ilmu. Ini dikhuatiri akan mengganggu guru yang sedang mengajar dan sahabat-sahabat sepengajian.

2. Jangan melunjurkan kaki menghala guru (jika belajar secara bersila) dan jika duduk di atas kerusi, elakkan duduk dengan menyilang kaki dan segala perbuatan yang berkaitannya yang jika dilihat boleh kita kata, "Ini tidak beradab". Jika duduk bersila, usahakan untuk sembunyikan hujung jari kaki.

3. Jika guru sama jantina, usahakan untuk cium tangan guru sebaik selepas tamat pengajian. Cium tangan juga perlu betul caranya, cium tangan dekat sini bermaksud bukan salam bagi dahi yang selalu orang Melayu kita lakukan, tetapi cium tangan guru dengan mulut. Tidak kiralah samada guru itu lebih muda dari kita sekalipun, tetap perlu, ini sebagai tanda hormat kita kepada orang yang sudah mengajarkan kita ilmu.

4. Jangan tenung wajah guru terlalu lama, ada juga guru yang kurang selesa jika wajahnya ditenung lama oleh anak murid. Kalaupun nak tengok sangat wajah guru, tengoklah ketika guru sedang memandang ke arah lain, bila guru memalingkan wajahnya kepada kita, terus tunduk, elakkan bertentang mata dengan guru.

5. Jangan bercakap-cakap, atau pandang ke kiri dan ke kanan ketika di dalam majlis pengajian. Jika mahu bertanya, bertanyalah dengan cara yang beradab, angkat tangan jangan terlalu tinggi, dan suara juga jangan terlalu tinggi. Ini bagi menjaga ketenteram majlis pengajian.

6. Jangan bersandar di dinding-dinding tempat pengajian. Duduklah rapat-rapat dan sebaiknya duduk di tempat biasa kita duduk, jangan berubah-ubah tempat supaya guru mudah untuk mencari kita. Susunlah kasut/sandal membelakangi tempat pengajian.

7. Jangan makan atau minum ketika guru sedang mengajar. Ini adalah sangat-sangat menyalahi adab di dalam majlis ilmu.

8. Catatlah setiap mutiara ilmu yang dicurahkan oleh sang guru. Bawalah pena dan kitab ke dalam majlis pengajian kerana adalah satu kehinaan buat seorang penuntut ilmu yang tidak membawa pena dan kitab.

9. Bersikap tawadhuk, tawajuh lah ketika guru sedang mengajar. Jika guru bertanya tentang satu-satu soalan, katakanlah yang kita tidak tahu tentang jawapannya walaupun sebenarnya kita sudah tahu. 


Ini secara ringkas sahaja buat para tolibul ilm yang baru hendak mula belajar tentang adab ketika berada di majlis ilmu :) InsyaAllah jika kalian punya kesungguhan untuk menjaga adab-adab ketika di majlis pengajian, kalian akan rasai ilmu yang dipelajari itu masuk seperti air yang mencurah-curah, dan juga jika betul-betul beradab dengan guru, berkhidmat dengan mereka, kalian akan dapat ilmu yang lebih dari apa yang diajar oleh guru. Nadhrah guru. Ilmu yang lain itu masuk seperti bluetooth sahaja.

Disebut di dalam atsar:

"Pelajarilah ilmu dan belajarlah untuk mendapatkan ilmu itu dengan ketenangan dan kemuliaan. Bersifat tawadhuklah kepada orang yang kalian belajar daripadanya."


Bagi yang mahu mengetahui lebih tentang adab-adab sampingan dalam menuntut ilmu, inilah dia. Intinya, lebih sarat. Lebih mudah faham. Lebih sesuai dengan dunia masa kini.

Adapun jika kitab-kitab lama, boleh dirujuk pada kitab Penawar Bagi Hati(Syeikh Abd Qadir al Mandili), Hidayah as-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin(Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani), Bidayah al-Hidayah(Imam Ghazali) dan Ta'alim al-Muta'alim(syeikh az-Zarnuji) . Rahimahumullahhuta'ala.




Allahummasolli'alasayyidinaMuhammad.
Semoga beroleh manfaat.
Hamba yang fakir lagi berhajat kepada Tuhan yang Maha Terkaya.

Friday, May 24, 2013

Perihal Sang Kekasih yang dirindui.



Namanya Muhammad (ﷺ) bin Abdullah bin Abdul Mutholib bin Hasyim bin Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luay bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaiman bin Mudrikah bin Elyas bin Mudar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan.

Lahirnya 12 Rabi'ul Awwal Tahun Gajah.

Tanah Haram, Makkah al-Mukarramah.

Putera kepada Abdullah ibn Abd Mutholib dan Aminah binti Wahab.

- - -

Ketika menerangkan bentuk tubuh Nabi , Ummu Ma'bad berkata :

Aku melihat seorang lelaki yang begitu indah wajahnya, tidak terlalu kurus badannya dan tidak terlalu gemuk. Tampan dan kacak orangnya. Hitam matanya, panjang bulu matanya, lunak suaranya, panjang lehernya (ideal), lebat janggutnya, lentik bulu alisnya.

Jika dia diam, tampak ketenangannya. Jika dia berbicara tampak kehebatannya. Dari jauh kelihatan dia begitu kacak dan lebih nyata dan terang kelihatan kacaknya ketika dia dekat.

Manis kata-katanya. Tidak terlalu panjang ketika berbicara dan tidak terlalu ringkas. Kata-katanya umpama manik manikam yang tersusun indah. Sederhana tingginya, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu indah.

Jika bertiga, dialah yang paling indah dan paling utama. Sahabat-sahabatnya taat kepadanya. Jika dia berbicara, semua mendengar. Jika dia menyuruh, semua menurut suruhannya. Wajahnya selalu senyum dan percakapannya tidak ada yang sia-sia.

(Hadis Hasan lagi kuat dikeluarkan oleh al-Hakim dan beliau menshahihkannya dan dipersetujui oleh az-Zahabi. )

- - -

Berakhlak dengan al-Quran,

berbicara ketika perlu,

sering diam,

fasih bicaranya - ringkas tetapi padat,

melihat ke tanah lebih banyak dari mendongak ke langit - alamat tawadhuk,

marah tidak kerana nafsu,

menghargai walau sekecil-kecil nikmat,

senyumnya indah, manisnya bercahaya,

tidak berteriak-teriak di pasar,

tidak membalas kejahatan dengan kehajatan, malah memaafkan dan berlapang dada,

sesiapa yang melihat Baginda ﷺ sepintas lalu akan berasa gerun,

terpancarnya cahaya ilmu,

paling halus keperibadiannya.

Purnama.

Cinta.

Kasih.

Rindu.

:)

Beruntungnya kita.

Wednesday, May 22, 2013

Kerinduan.


Wahai Madinah! Terimalah daku sebagai tetamu yang engkau rindui. Agar ia menjadi asbab kepadaku untuk menjejakkan kaki ke bumi yang didambakan itu...

:')